Misi Sami Yusuf

Posted on April 26th, 2012

Sami Yusuf
Sami Yusuf
DILABELKAN oleh majalah Time sebagai bintang rock Islam unggul, jejaka kelahiran Tehran, Iran yang membesar di London Barat, United Kingdom ini mencipta fenomena luar biasa terhadap perkembangan seni pop Islam. Sentuhannya yang berpusar kepada kehidupan masyarakat Islam berdepan arus kemodenan, selain mengangkat cinta dan keamanan melonjakkan populariti Sami Yusuf, 32, di Asia Timur sekali gus memberi warna baru kepada industri nasyid.

Impak populariti yang diciptanya menerusi album kedua, My Ummah yang diterbitkan pada 2005, Yusuf dinobatkan sebagai bintang rock Islam unggul serta dua kali muncul dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh pada pada 2009 dan 2010. Keampuhan populariti Yusuf sebagai penghibur dibuktikan menerusi konsert di Istanbul, Turki pada 2007 dengan kehadiran lebih 250,000 penonton.
Selepas lima tahun menyepi, ekoran perselisihan dengan syarikat rakaman pada Oktober 2010, Yusuf melancarkan album ketiganya, Whereever You Are sebagai manifestasi genre yang digelarnya Spiritique. Sudah menyempurnakan siri promosi di Turki, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar, jadual seninya juga diisi jelajah seluruh Eropah pada musim panas lalu.
Ikuti temubual dengan Yusuf yang memilih untuk mendalami muzik ketika mempunyai pilihan menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di King’s College kerana terpanggil selepas insiden 11 September 2001.

Pernah terfikir akan meraih populariti sehebat sekarang?

Ia sesuatu di luar jangkaan. Industri muzik menuntut penggiatnya supaya menuruti aliran semasa jika ingin diterima, biarpun tindakan itu bukan atas kemahuan sendiri. Saya sebaliknya cuma menyanyi dari hati, tanpa sokongan daripada syarikat korporat besar. Namun Alhamdulillah, saya berjaya menembusi pasaran komersial. Ia adalah rahmat Allah.
Bagaimana menangani populariti luar biasa sebegini?

Saya sentiasa berusaha untuk terus bersama mereka yang berada di sisi, sejak hari pertama saya menyertai dunia nyanyian. Tangan mereka ini yang akan menarik saya kembali ke landasan asal jika saya tersasar dalam perjalanan itu. Lumrah industri kerana sebahagian besar penggiatnya dikelilingi mereka yang hanya bersetuju dan menganggukkan kepala terhadap apa yang diperkatakan. Sekalipun jika diberitahu langit berwarna hijau, mereka tidak akan membantah biarpun ia sebenarnya jauh daripada kenyataan.

Pernah berdepan tekanan ketika bergelar contoh kepada kelompok muda Islam?

Semestinya. Saya dipertontonkan kepada umum dengan imej bersih dan berharga. Hakikatnya semua itu diterjemahkan oleh mereka yang bekerja ketika pembikinan klip video saya. Imej seperti ini diterima dalam komuniti Islam namun, realitinya manusia itu tidak pernah sempurna. Kita tidak terlepas daripada buat silap. Orang lain menganggap itu dosa tetapi saya senang melihatnya sebagai kekhilafan. Sama ada diterima peminat atau sebaliknya, saya juga seperti orang lain tidak terlepas daripada buat silap. Tetapi muzik saya murni dan jujur.

Boleh ceritakan mengenai single, You Came To Me yang dilancarkan sebelum album penuh, Wherever You Are?

Ia cukup mengagumkan. Lagu itu dilancarkan beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan namun penerimaan peminat sungguh luar biasa. Dalam beberapa hari, jumlah muat naik melebihi 300,000. Lagu itu menterjemahkan keseluruhan album ini, lebih intim.

Ramai keliru mengenai pengedaran album ketiga anda. Boleh jelaskan?

Saya terpaksa mengalah dan memberi laluan kepada syarikat rakaman lama yang memasarkan beberapa demo lama. Tetapi itu adalah realiti industri hiburan. Nama saya – mungkin membawa tuah atau sebaliknya, terpulang bagaimana penilaian umum – mampu menjana pulangan lumayan kepada kebanyakan orang. Terlalu banyak eksploitasi berlaku dan jujurnya, ia membuat saya terluka. Alhamdulillah kerana akhirnya saya mendapat sokongan daripada label besar, cukuplah saya bekerjasama dengan amatur.

Sejauh mana pentingnya golongan muda mengambil tahu perkembangan semasa dunia?

Sangat penting. Barangkali di Eropah, kebanyakan orang muda melihat politik dan Tuhan sebagai topik serius. Anda tidak akan menemui pemuda berusia 17 tahun bercerita mengenai politik di United Kingdom atau pilihan raya. Tidak banyak pilihan raya berlaku di Asia Timur, juga di sebahagian rantau lain. Tetapi penting untuk memahami agama yang dianuti seseorang dan memisahkan perbezaan kepercayaan itu daripada pengaruh politik. Permusuhan tidak seharusnya wujud, tidak kira apa juga kepercayaan seseorang itu.

Dilahirkan di Iran dan membesar di barat London tetapi kini menetap di Mesir. Di mana cinta sejati anda?

Saya tidak melihat diri saya sebagai rakyat Iran. Saya seorang warga Britian yang menganut Islam. Tidak banyak yang saya ingat mengenai Iran. Namun saya tahu Iran adalah negara cantik dengan keunikan budaya tersendiri. London tetap menjadi kediaman saya. Tetapi jika dilihat dalam skop lebih luas, rumah adalah tempat di mana anda menemui cinta sejati.

Categories

Archives

Latest Tweets

Share