SAMI YUSUF: Saya buat lagu kerana muzik dan saya melakukannya dari hati

Posted on April 26th, 2012

Usah gunakan Islam untuk lariskan muzik

Sami Yusuf berduet dengan Siti Nurhaliza dalam konsert Singapura

RAMAI yang teruja apabila mendapat tahu penyanyi dari Muslim dari Britain, Sami Yusuf, akan mengadakan konsert di Singapura pada 8 Julai ini di Stadium Tertutup Singapura.

Betapa tidak, jauh sebelum kehadiran penyanyi kerohanian daripada industri muzik Inggeris, Maher Zain, muncul, Sami, 32 tahun, terlebih dulu menarik jutaan peminat dari seluruh dunia menerusi lagu-lagunya dari era album Al-Muallim yang dilancarkan pada 2003, diikuti dengan My Ummah pada 2005, yang dianggarkan telah terjual 13 juta unit di seluruh dunia! Majalah Time menggelarkannya Islam Biggest Rockstar, lantaran kejayaannya menarik 250,000 penonton ketika beliau beraksi di Dataran Taksim, Istanbul.

Kedatangannya memang dinanti-nantikan ramai peminatnya di sini.

Keindahan melodi lagu-lagunya seperti Supplication dan Mother, seperti terpancar dalam perbicaraannya dalam pertemuan yang diatur oleh pihak penganjur, Offshore Entertainment di Royal Plaza On Scotts Rabu lalu.

Di sebalik lagu-lagunya yang sarat mesej kerohanian dan kemanusiaan, Sami berkata beliau tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang pendakwah, tetapi seniman yang memberi fokus kepada penyatuan ummah menerusi karya yang bernilai.

Beliau bahkan menegur label-label rakaman yang menggunakan Islam untuk tujuan komersial.

‘Saya tak kisah kalau ada yang mahu berhip-hop, rap, gunakan muzik R&B atau masukkan elemen rok untuk menyampaikan mesej dengan cara yang dianggap cool. Menyanyilah dan sampaikan mesej-mesej yang baik, asal jangan gunakan Islam untuk melariskan album.

‘Adalah tidak adil anda menggunakan Islam untuk mencuri hati peminat. Ia memberi gambaran salah tentang agama. Bahkan, mereka yang menggunakan elemen moden ini atas nama berdakwah sebenarnya seperti menghina Islam, kerana secara tidak langsung menggambarkan Islam adalah agama yang lapuk dan mundur, tak sesuai untuk dakwah hari ini.

‘Seni Islam tidak perlukan sebarang reformasi. Seni Islam seperti qasidah dan burdah begitu indah dan tidak perlukan perubahan,’ kata pemuzik yang mendefinisikan muziknya sebagai spiritique, iaitu muzik yang menggabungkan unsur oriental dengan elemen Barat, yang diterapkan intipati kerohanian.

Kata Sami lagi, beliau mendapati ramai penyanyi nasyid terperangkap dengan tuntutan syarikat yang hanya mementingkan soal keuntungan.

‘Sesuatu yang bermula dengan jujur, akan berubah apabila ia mula buat duit. Sebab itu fenomena nasyid di Malaysia tidak bertahan lama… sebab pendengar pun dapat merasakan kalau karya itu jujur atau tidak,’ tambah Sami yang mengakui mengetahui perkembangan nasyid di rantau ini termasuk populariti kumpulan Raihan.

‘Saya sendiri tidak membenarkan diri saya atau lagu-lagu saya dijadikan objek agama demi tujuan komersial. Apabila ia berlaku, saya cepatcepat melarikan diri,’ kata pemuzik yang mengambil keputusan berpisah daripada syarikat rakaman Awakening pada 2009 kerana konflik pendirian. Beliau menyifatkan pelancaran album ketiganya, Without You, yang dikeluarkan Awakening dibuat tanpa kebenarannya.

Sami dilahirkan dalam keluarga pemuzik berasal dari Tehran, Iran, dan dibesarkan di London sejak berusia tiga tahun. Sejak kecil, beliau mempelajari sendiri pelbagai instrumen termasuk piano, biola, tabla, daf dan gambus.

Apabila ditanya cabarannya sebagai artis Muslim di ibu kota Britain itu, Sami mengakui ‘telah melalui masa-masa sukar’ tetapi bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang warak dan teguh memegang nilai tradisi institusi kekeluargaan.

‘Saya mempunyai kawan daripada pelbagai bangsa dan agama… dan saya melihat semua kawan ini sebagai insan… yang jika perlu, harus dibantu dan dilindungi tanpa dibezakan warna kulit dan agama. Sebab itu karya-karya saya bersifat universal. Saya pernah didatangi orang Kristian yang mengakui bagaimana hatinya cukup tersentuh mendengar lagu-lagu saya,’ ujarnya.

Katanya, ketika beliau melahirkan album pertama dalam 2003, beliau tidak merancang terus berada dalam industri ini kerana sedar akan kesan-kesan negatif yang selalu dikaitkan dengan muzik dan hiburan.

‘Saya buat lagu kerana muzik dan saya melakukannya dari hati,’ jelasnya.

Justeru, apabila album Al-Muallim mendapat sambutan luar dugaan di Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Tenggara, beliau akui terkejut.

‘Dunia saya berubah dalam sekelip mata. Pada satu minit, saya disambut hormat para pembesar negeri dan pada minit yang lain, saya menyanyi di hadapan 100,000 penonton. Alhamdulillah, saya tidak lalai dengan perubahan mengejutkan ini dan saya dapat meletakkan perkembangan muzik saya pada perspektif yang betul,’ tambahnya.

Dalam berkarya, apa yang beliau fokuskan ialah bagaimana menjadikan karyanya satu nilai yang dapat menyatupadukan ummah.

Single terbarunya, Forgotten Promise, merupakan sumbangannya kepada Program Makanan Sedunia (WFP) kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan setiap hasil penjualan lagu itu disalurkan untuk dana yang melindungi mangsa-mangsa kebuluran.

‘Terlalu banyak kemelut dan kerosakan yang berlaku di sana sini, di serata dunia. Remaja kita perlukan pengisian yang bererti untuk jiwa yang kosong dan tercari-cari.

‘Sayangnya remaja hari ini terdedah pada muzik Barat yang sangat miskin dengan nilai itu. Jangan salah sangka… saya percaya penyanyi seperti Lady Gaga, Amy Winehouse dan Adele bermula dengan niat yang murni sebagai seniman, tetapi kerana faktor komersial, pemuzik Barat kehilangan arah. Mereka kabur dengan imej kebendaan, pakaian, gaya hidup mewah sebaik saja mempunyai wang.

‘Itu yang saya elakkan terjadi kepada diri saya, bukan gaya hidup selebriti yang penuh kebohongan,’ kata Sami.

Semasa konsertnya nanti, Sami akan turut melancarkan album keempatnya, Salaam, nama yang juga digunakan untuk konsertnya nanti. Penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, diundang membuat persembahan dengannya memandangkan Siti turut berduet dengannya dalam album Salaam. Mereka menyanyi dalam bahasa Melayu.

‘Untuk konsert itu nanti, saya akan menghidangkan lagu-lagu yang peminat di Singapura mahu dengar. Ia akan menjadi konsert yang sukar anda lupakan kerana saya bekerja dengan pakar-pakar… daripada pemuzik hinggalah ke penata cahaya dan suara,’ ujarnya.

Selain itu, Sami juga mahu memulakan label rakamannya sendiri, untuk memberi peluang kepada penyanyi dan penggubah berbakat, berkarya dan diketengahkan secara betul.

Butiran mengenai harga tiket akan diketahui apabila penjualannya bermula pada 2 Mei, menerusi Sistic.

Categories

Archives

Latest Tweets

Share